Pejabat Canseleri

Semasa ITM diterajui oleh Pengarah, pejabat ini dipanggil sebagai Pejabat Pengarah.  Banyak fungsi pentadbiran diletakkan di bawah Pejabat Pengarah termasuk hal-hal berkaitan dengan perjawatan, perkhidmatan, latihan dan perhubungan awam.  Mulai Julai 1969 fungsi-fungsi pentadbiran berkaitan dengan perjawatan dan perkhidmatan kakitangan dipusatkan di bawah Pejabat Pendaftar.

Apabila ITM dinaiktaraf sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 Ogos 1999, nama pejabat ini ditukar kepada Canseleri.  Dari segi fungsi, pejabat ini memberi perkhidmatan pentadbiran kepada Naib Canselor dalam menjalankan tugas-tugas hariannya.

Bahagian Canseleri dan Komunikasi Korporat

Selanjutnya, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (JKE) Bil. 03/2015 pada 04 Mac 2015 telah bersetuju dan meluluskan penggabungan Pejabat Canseleri dengan Jabatan Komunikasi Korporat berkuatkuasa 01 Mac 2015 yang dikenali dengan Bahagian Canseleri dan Komunikasi Korporat.

Bagi memastikan segala aktiviti universiti dan perkhidmatan yang diberikan berjalan dengan lancar beberapa perubahan dari segi fungsi telah dikemas kini.  Dengan penggabungan ini, jabatan ini diketuai oleh Ketua Timbalan Pendaftar.

 

Pejabat Naib Canselor

Majlis Eksekutif Universiti  (MEU) Bil 15 /2019 bertarikh 03 Julai 2019 telah meluluskan perubahan struktur beberapa bahagian/jabatan/unit termasuk Bahagian Canseleri dan Komunikasi Korporat.

Sehubungan dengan itu, Bahagian Canseleri dan Komunikasi Korporat telah dipisahkan dan dikenali sebagai Pejabat Naib Canselor dan diketuai oleh Timbalan Pendaftar mulai 1 Ogos 2019.

 

Objektif Jabatan

 Terdapat dua (2) objektif yang telah dilakarkan untuk Pejabat Naib Canselor iaitu:

  • Memastikan perkhidmatan utama dan sokongan yang cekap kepada warga Universiti dan pemegang taruh.
  • Memastikan pelaksanaan dasar dan tadbir urus terbaik universiti.

Objektif Kualiti Jabatan

  • Semua proses perkhidmatan Pejabat Naib Canselor menepati petunjuk prestasi yang telah ditetapkan
  • Melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam pengurusan jabatan agar penyampaian perkhidmatan memuaskan hati pelanggan.